BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday 15 October 2011

Dialog Malam Pertama



 Tahniah buat shbt ana : Ustaz Adam & zaujah

 Di malam yang hening, merupakan malam pertama bagi sepasang suami isteri ini, malam penentuan pertarungan hak dan batil. Malam yang dinanti-nantikan oleh sepasang mempelai yang baru hangat diraikan dalam majlis kenduri tengahari tadi. Alam bagaikan mengerti, hujan rintik-rintik dan sejuk yang nyaman di perkampungan seperti ingin membasahkan kehangatan suami isteri malam ini.

Suatu yang mengesankan ialah inilah kali pertama mereka bersua muka, menatap wajah pasangan dengan lebih dekat, menyentuh kulit mulus isteri yang dicintai dan inilah debaran malam pertama bagi mereka. Sebelum ini , mereka tidak pernah sedekat ini, jika adapun bertemu di hadapan keluarga masing-masing, jika ada pun bertemu bersama kawan-kawan. Tidak pernah mereka berjalan beriringan, tidak pernah mereka menjangka bahawa satu perkenalan, satu masa yang singkat terus membawa kepada jinjang pelamin. Alam pernikahan yang begitu asing bagi mereka.

Malam semakin larut, si suami membasahkan tubuhnya menyucikan diri. “Aneh” bisik isterinya. Di malam-malam begini yang dingin mengapa perlu membasahkan tubuh? Lebih aneh selepas itu suaminya masuk ke bilik belakang yang kosong agak lama sehingga memaksa isterinya mengintip di celahan pintu bilik itu. Alangkah terkejutnya, suaminya seakan mati, kaku dengan gerakan sujud dan terdengar esakan kecil umpama merintih.

Dia tahu apa yang dilakukan oleh suaminya dan dia akur. Itulah cinta suaminya yang sejati. Dia tidak perlu cemburu dengan cinta itu dan dia pernah berfikir walaupun segunung cintanya pada suaminya, tidak akan sama dengan cinta suaminya di bilik kosong itu. Dia menunggu, bertelekung di atas taburan bunga mawar di atas katil empuk itu. Si suami keluar dan memandang tepat ke arah isterinya, isterinya menunduk malu.

Isteri : Mengapa awak pilih saya?

Suami : Kerana awak berniqab (memakai purdah).

Isteri : Ramai kan yang berniqab?

Suami : Kerana awak ada agama.

Isteri : Ramai kan yang ada agama?

Suami : Kerana awak adalah jodoh ketentuan dari Allah S.W.T.

Isteri kehabisan soalan, dia tahu jawapan itu tidak ada persoalan lagi.

Suami : Saya jumpa awak yang saya nampak hanya 2 biji mata, saya tak tahu wajah awak dan selepas itu saya terus tidak melihat wajah awak, tetapi saya melihat di rumah awak, di hadapan ibu bapa awak. Ketika mereka menyaksikan hasrat saya untuk memiliki awak dan ketika awak membuka niqab, saya tidak perlu tahu selanjutnya wajah awak kerana itu bukan tujuan utama saya memiliki awak.

Isteri : Saya tidak cantik…

Suami : Lebih baik beristerikan perempuan yang berkulit hitam, berbibir tebal tetapi mempunyai Agama dalam dirinya adalah nikmat yang paling cantik daripada memiliki isteri yang berkulit mulus, tetapi tiada agama dalam dirinya. Tetapi jika cantik dan ada agama itu adalah anugerah Allah kepada saya. Tetapi adakah perempuan sedar, mereka yang menampakkan kecantikan yang haram didedahkan tetapi akhirnya mereka adalah bahan bakar di neraka kelak. Wana’uzubillah.

Isteri : Saya juga ingin cantik…

Suami : Sayang, kecantikan awak takkan kekal. Awak akan dimakan usia. Tetapi mahukah awak kekal cantik selamanya?

Isteri: Itu yang saya mahukan…

Suami : Mahukah awak menjadi secantik bidadari, malah lebih dari itu?

Isteri: Perempuan di dunia ini sehabisnya menyolek diri mereka umpama bidadari tetapi adakah mereka berjaya?

Suami : Ada caranya, malah tidak perlu berhabis ribuan ringgit!

Isteri: Yakah?, tunjukkan caranya!

Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

Isteri : Saya kurang faham, di mana alat-alat mekapnya?

Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Jika perempuan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.” (HR. Al-Bazaar).

Isteri : Bagaimana cantiknya saya di dalam syurga nanti?

Suami : Tolong ambilkan Al-Quran atas meja tu dan Tafsir Ibnu Kathir yang kawan awak hadiahkan tu. Awak ada wudukkah?

Isteri : Ada. Nanti sekejap.

Suami : Lihat Surah Al-Waqiah, “Sesungguhnya kami akan ciptakan mereka secara langsung.” (ayat 35 ), Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa wanita baik mereka itu tua atau tidak mereka akan dibangkitkan dengan ciptaan yang baru. Dalam keadaan mereka itu muda dan perawan. Ini dikuatkan lagi dengan ayat yang berikutnya “Dan Kami jadikan mereka itu gadis perawan” (ayat 36).

Isteri : Saya belum dapat bayangkan macam mana cantiknya saya nanti.

Suami : Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman lagi “(Tentang wanita) penuh cinta (kepada suami mereka) lagi sebaya umur” (ayat 37). Dalam Ayat ini, Allah menerangkan mereka ini (wanita) terlalu asyik mereka hanya kepada suami mereka sahaja manakala suami mereka juga asyik kepada mereka. Cinta mereka hanya kepada suami mereka sahaja (Tafsiran Ibn Abbas).

Isteri : Sahih tu bang, tapi saya nak bayangkan macam mana cantiknya saya dalam syurga nanti.

Suami: Baiklah, tunggu sekejap saya ambil kitab hadith, lihat ini ada Riwayat dari Hadis Tabhrani, sambungan dari yang zahir lebih baik dari yang batin yang saya ceritakan tadi, ingatkah?

Isteri : Oh! ada, saya ingat.

Suami : Maka bertanya lagi Ummu Salamah: Dengan apa yang menyebabkan mereka lebih baik, Baginda pun bersabda: dengan solat mereka, puasa mereka dan ibadat mereka kerana Allah. Malah Allah memakaikan pada muka mereka cahaya, pada badan mereka sutera, kulit mereka berwarna putih, pakaian mereka berwarna hijau, malah mereka dipakaikan dengan perhiasan berwarna kuning (yakni emas) rantai mereka daripada permata, sikat mereka daripada emas. Lalu mereka berkata: Kami kekal (di dalam syurga) dan kami tidak akan mati lagi, kami memperolehi nikmat dan kami tak akan bersedih lagi, kami akan kekal di dalam syurga dan kami tidak akan berpindah, kami adalah orang yang redha dan kami tidak akan marah, beruntunglah sesiapa yang kami (dijadikan) untuknya dan (dijadikan) dia untuk kami. Lalu Ummu Salamah bertanya lagi: Wahai Rasullallah, ada di kalangan kami yang berkahwin dengan dua orang lelaki, atau tiga orang lelaki atau empat orang lelaki (bukan dikumpulkan sekali tetapi merupakan perkahwinan yang kedua selepas kematian, cerai atau lainnya), kemudian perempuan itu mati dan dapat masuk kedalam syurga begitu juga bekas-bekas suaminya juga masuk syurga, maka siapa yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Baginda menjawab: Dia akan memilih yang terbaik di kalangan mereka dari segi akhlak. Nah! Hadith ini dengan jelas menampakkan kelebihan orang wanita daripada bidadari.

Isteri : Alhamdulillah, baru saya faham. Maksudnya jika saya berjaya menjadi wanita solehah dengan ciri-ciri dari firman Allah dan hadith, maka saya akan masuk syurga dan menjadi lebih cantik dari bidadari!

Suami : Wanita yang merupakan ahli syurga juga mendapat nikmat yang tak ternilai banyaknya. Dan nikmat yang diperolehi oleh wanita atau lelaki di dalam syurga adalah sesuai dengan fitrah kejadian kejadian mereka. Cubalah kita renungi baik awak atau pun saya, apakah yang amat dihajati oleh kita dan sekiranya kita diberi peluang nescaya kita akan mendapatkannya? Pada pandangan saya, orang lelaki lebih berhajat kepada wanita manakala wanita pula di samping berhajat kepada suami, akan tetapi kecantikan dan kejelitaan lebih menjadi tumpuan pada mereka. Bukankah semua ini terdapat di dalam syurga?

Isteri : Saya tahu sedikit dari ilmu yang saya kutip, tetapi ada yang saya lupa, eloklah saya mendengar sendiri dari suami saya!

Suami : Ya. Saya juga muzakarah dengan awak, lagi satu, bidadari syurga yang bukan dari kalangan isteri saya akan memarahi awak juga!

Isteri : Hah! Bidadari marah saya? Kenapa? Macam mana awak tahu?

Suami : Buka kitab hadis tadi, baca “Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari isterinya di syurga akan berkata kepadanya: Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.” (H.R. Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal r.a)

Isteri : Wah! Saya amat takut jika awak meninggalkan saya di dunia lebih menyedihkan jika saya tidak dapat berjumpa awak di syurga!

Suami : “Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya.” (H.R. Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Isteri : Alhamdulillah! Baru saya faham sejelasnya, terima kasih abang. Tetapi itukan banyak persoalan tentang saya, bagaimana saya dalam keluarga yang taat kepada perintah Allah, yang menghidupkan sunnah Rasulullah dan akan mendapat nikmat syurga. Bagaimana dengan diri abang?

Suami : Oh itu masa tidak mengizinkan, biarlah kita berbicara satu bab dengan teliti. InsyaAllah esok malam kedua kita bicarakan soal itu ya.

Monday 15 August 2011

Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku






"Abang nak dengar cerita tak?" Soal Zahra, isteriku yang baru beberapa hari kunikahi. Lembut dan lunak sekali suaranya.
Ketika itu aku sedang menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.
Sengaja aku meneruskan bacaan. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar apa-apa.
"Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm...tak pelah." Dia mencebik muka.
Itulah yang aku tunggu. Lantasku tutup kitab fiqh dan aku letakkan di atas meja kecil disisi sofa. Aku bangun melangkah dan mendekati isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas lantai beralaskan permaidani berona coklat. Aku memilih kedudukan betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan ku hulurkan kedua tangan, dan ku pegang pipinya. Lalu ku dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian... tangan nakal ku mencubit lembut hidungnya.
"Haa! haa..!" Aku pantas bangkit dan melarikan diri.
"Abang!" Zahra cukup geram dengan perbuatanku tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar aku dibelakang.
Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Gelagat kami seakan-anak anak kecil yang sedang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti mengalahkan mereka ini. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, aku tidak betah untuk terus berlari. Sengaja ku beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuhku, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali.
"Sayang! Abang cubit sekali je tadi," ujarku cuba membela diri sambil ketawa.
"Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya." Zahra sehabis mungkin mengenakanku kembali. Habis tubuhku dicubitnya manja. Dia mengilai riang, kemenangan. Aku tidak bisa berbuat apa-apa lagi, hanya mampu redha dengan kemenangan Zahra. Seraya itu, ku perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Manja dan menawan hati. Dia benar-benar mampu mengubat hatiku, aku benar-benar gembira dan bersyukur pada Allah kerana dijodohkan dengan wanita semulia dan secantik Zahra. Terima kasih Allah!
Dalam kegembiraan dia mencubitku, dengan pantasku tangkap serangan terakhirnya. Aku pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Aku pandang tepat ke wajahnya. Sedikit titik air terlihat dikelopak matanya. Aku sekat air mata bahagia itu dengan jari jemariku. Perlahan-lahanku kucup ubun-ubunnya, lembut dan kurangkul tubuhnya erat dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang dibina kerana Allah. Aku bahagia, dan ku pasti dia juga turut merasai kebahagiaan ini. 
"Abang ni, sampai hati kenakan Zahra tau!" Dia pura-pura merajuk dan membulatkan matanya, walaupun begitu tetap terpancar rona-rona keceriaan disebalik rajukan yang dibuat-buat itu.
"Sekali-sekala abang nak bergurau dengan Zahra, seronok juga kan." Selorohku sambil ketawa kecil.
Aku memimpin Zahra dan membawanya ke arah kerusi yang terletak di balkoni. Daripada balkoni itu, kami dapat menikmati angin bayu yang begitu mendamaikan kerana balkoni tersebut benar-benar menghadap pantai. Aku selesa disini bersama isteriku yang tercinta. Kami masing-masing mendiamkan diri, menikmati kedinginan malam dan keindahan bulan di langit. Butir-butir bintang berkelip indah, bukti kekuasaan Yang Maha Esa. Beberapa ketika selepas itu, aku memperbetulkan kedudukan ku diatas kerusi dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra tanpa disuruh, menyandarkan kepalanya ke dadaku. Hati ini terasa sejuk dan tenang sekali. Alangkah indahnya nikmat Tuhan, aku dapat bermesraan dengan wanita yang halal bagiku, sudah tentu ia akan dikira sebagai ibadah. Dalam sepi aku terfikir, inilah hikmah perkahwinan yang seringku baca dalam kitab-kitab dan hadith-hadith Nabi, sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala.
Lama membisu dan melayan perasaan, tiba-tiba Zahra mengungkapkan tutur yang membelah kesunyian."Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Zahra begitu kagum dengan seorang pemuda. Zahra rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dialah pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh Zahra kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh."
Aku cuma mendengar. Membiarkan Zahra meneruskan kalimah-kalimahnya.
"Zahra tidak pernah menyangka Zahra sudah jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh Zahra tidak pernah menyangka perasaan itu dan Zahra pernah berkali-kali menafikannya. Namun Zahra tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Zahra tewas dengan perasaan sendiri."
Kemudian Zahra terdiam. Dia memandangku dengan pandangan sayu.
Wajahku seakan berubah. Demi Allah, aku benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat aku sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Malah, wanita ini sekarang telah menjadi permaisuri hidupku. Aku ingin sekali bertanya. Pelbagai persoalan muncul di fikiranku namun ku biarkan Zahra dengan bicaranya dan aku akan cuba dengar dengan saksama.
"Namun abang, Zahra masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Zahra tidak tertewas dengan pujukan syaitan yang berkali-kali mengajak Zahra menerobos ke ruang maksiat. Zahra masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk Zahra menanggalkan pakaian mulia itu. Pakaian yang dinamakan malu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah Zahra bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari Zahra. Zahra tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana Zahra telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan menjunjung perintah Allah didalam al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Lalu Zahra pendamkan rasa cinta Zahra pada pemuda itu, kerana Zahra berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya."
Zahra berhenti berbicara seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam. Perkara ini seperti terlalu serius dan penting baginya. Aku menjadi risau dan soalan demi soalan kian menjengah ke dalam fikiranku.
"Zahra berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Bulat-bulat Zahra berserah kepada Allah perihal jodoh. Kerana Zahra yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:"(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia."
(Surah An-Nuur:26)"
Zahra memandangku lembut. Dia pasti dapat meneka riak air mukaku. Aku cemburu Ya Allah. Mengapa perlu isteriku ini bercerita perihal pemuda lain dihadapanku. Walaupun aku kini pemiliknya yang sah namun aku tidak dapat menghalang jiwaku daripada perasaan cemburu ini. Namun Zahra masih mahu menyambung kisah nya.
"Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Jadi, Zahra berdoa tidak henti-henti moga Zahra dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki."
Tanpaku sedari Zahra mencuri pandang kearahku. Dia kini seperti menangkap perasaan di hatiku yang sedari tadi membuak-buak rasa cemburu.
"Abang cemburu?" Soalnya lembut dan manja.
"Love is never without jealousy," jawabku perlahan. Zahra berterusan membisu dan memandangku seakan mengerti masih ada bait-bait kata yang ingin aku ucapkan kepadanya.
"Bertuahnya lelaki tu. Mesti dia seorang yang hebat kan? Yelah, seorang wanita secantik dan semulia Zahra pun memuji dan mencintainya. Siapa lelaki tu sayang? Abang kenal dia?" Aku menyoal Zahra bertubi-tubi namun nadaku masih lembut walaupun hatiku bergetar ingin tahu siapa lelaki yang isteriku cintai ini.
"Abang nak tahu siapa dia?" soalnya semula kepadaku. Eh, bukankah aku yang banyak bertanya soalan kepada dia tapi dia pula yang menyoalku kembali. Aku berasa sedikit geram dalam penantian.
Dia kemudian memegang tanganku dan diciumnya dengan penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.
"Abang, you are the man that i loved since the first time i met you in University. Zaid! Masya-Allah, now you've already be my husband, and i will give all my life to you, in the name of Allah."  
Hatiku gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Aku pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan kecantikan wajahnya. Hatiku kini tenang. Sungguh benar sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya."
(Hadis riwayat Ibn Jabir)

"Sayang, wajahmu seindah bidadari di syurga. Abang sangat beruntung dan bangga kerana menikahi seorang isteri solehah seperti sayang" Lirihku lembut.

"Dan abang adalah lelaki terbaik yang pernah Zahra temui. Abang cinta pertama dan terakhir Zahra." Lirihnya kembali.
Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segalanya kini bersatu. Aku mencintai isteriku dan berjanji akan selamanya menjaga amanah Allah ini hingga ke syurga. Akan kami teruskan ibadah yang suci ini dan kami mengharapkan akan dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam kelak.
"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Ar-Ruum: 21)


Credit to:  Abdul Zaid Bin Abdul Razak... Beliau merupakan sahabat satu batch dengan saya semasa di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (intake Jun2006) dahulu. Sekarang akhi zaid merupakan seorang mahasiswa Tahun Tiga Jurusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Laman Blog beliau boleh dilayari di : http://zaidad-diya.blogspot.com

http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/3138-bila-sudah-tertulis-kau-tetap-jodohku.html

Saturday 6 August 2011


"Kehebatan Bismillahirrahmanirrahim"


"Kehebatan Bismillahirrahmanirrahim! Barangsiapa mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiimi banyak-banyak dengan harapan mendapat rezeki, nescaya akan diberikan Allah rezeki dengan mudah dan tidak terduga olehnya. Serta, diberi kurnia kehebatan di hati manusia dan di sisi alam yang tinggi ( yakni Malaikat ) dan alam yang rendah    (yakni manusia dan lain-lain makhluk Allah di mukabumi).

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang Sabda Rasulullah s.a.w.: "Adalah Jibril apabila datang kepadaku, yang pertama diberikannya kepadaku ialah Bismillaahir rahmaanir rahiimi." (Darulquthni dan Ibnu Umar lah.a. )

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Itulah isim dari asma Allah. Tidak lain antara ia dengan nama Allah, 'Akbar' seperti putih mata
dengan hitamnya. Begitulah dekatnya."

Demikianlah jawapan Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh Utsman Ibnu Affan berkenaan Bismillah.

Sabda Baginda s.a.w. lagi: "Ismullahil-A'zham ialah Allah.Apakah engkau tidak lihat bahawasanya pada semua pembacaan al-Qur'an dimulai dengan Bismillaahir rahmaanir
rahiimi sebelum menyebut nama-nama Allah yang
lain." ( Riwayat Imam Bukhari dari Jabir )

Bersabda Nabi s.a.w.: "Ketika turunnya Bismillaahir rahmaanir rahiimi, bergembiralah ahli langit dari bangsa Malaikat, bergoncanglah 'Arasy kerana turunnya. Turut serta bersamanya 1000 Malaikat. Dan, bertambahlah iman para Malaikat. Dan, tunduklah segala jin dan bergetar segala
planet. Gementar segala sendi-sendi kerana turunnya."

Dari Abu Na'im dan Ibn Sunni dari Siti Aisyah lah.anhuma:
"Ketika turun Bismillaahir rahmaanir rahiimi, mengucap tasbihlah gunung-ganang hingga dapat mendengar para penduduk Mekah dan sekitarnya. Lalu mereka berkata: "Rupanya Muhammad yang menyihir gunung-gunung itu." Kemudian Allah bangkitkan awan hingga meneduhkan penduduk Mekah."

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa membaca Bismillaahir rahmaanir rahiimi dengan penuh yakin, akan bertasbihlah gunung-ganang. Cuma sahaja ia tidak dapat mendengarnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda: " Barangsiapa mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiimi dan lah haula walaquwwata illaa billaahil aliyyil adzhiim, Allah lepaskan dia dari 70 pintu bala dan kesukaran, dukacita dan kesakitan."

Dari al-Waqii dan atas-Tsa'labi dari Ibnu Mas'ud lah.a.:
"Barangsiapaingin dipelihara oleh Allah dari seksaan Neraka Zabbaniah yang sembilanbelas, maka hendaklah dia mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiimi. Kerana Allah menjadikan tiap-tiap huruf Bismillah itu sebagai perisai."

Dari ad-Dailami dari Ibnu Mas'udr.a., bersabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa membaca Bismillaahir rahmaanir rahiimi, dituliskan baginya tiap-tiap huruf 4000 kebajikan, dihapuskan darinya 4000 keburukan dan diangkat dia 4000
darjat."

Bersabda Nabi s.a.w.: "Jin itu suka memakai barang-barang kepunyaan manusia dan pakaian mereka. Oleh itu, barangsiapa mengambil atau menaruh pakaian, ucapkanlah Bismillaahir rahmaanirrahiimi. Kerana sesungguhnya nama
Allah yang dibacakan di situ merupakan cop mohor
Allah."

Pengertian dari hadith di atas ialah hendaklah kita
mengucapkan Bismillaahir rahmaanirrahiimi setiap
kali kita menyimpan atau mengambil barang-barang kepunyaan kita agar terjaga daripada jin dan Syaitan. Bukan sahaja kita mendapat pahala dari mengucapkannya tetapi juga mendapat keberkatan dan keselamatan sama ada atas harta-benda mahupun diri dan segala usaha kita.

Dari Anas bin Malik bersabda Nabis.a.w.:
"Andaikata pepohon dijadikan pena dan lautan dijadikan tinta, lalu dikumpulkan semua jin, manusia dan Malaikat untuk membuat buku dan menulis erti Bismillaahir rahmaanirrahiimi selama sejuta tahun, mereka tidak akan sanggup mengertikannya walau hanya satu persepuluh
darinya."

Bersabda Rasulullah s.a.w.: "Ada suatu kaum yang datang pada Hari Qiamat nanti dengan mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiimi. Lebih berat kebajikan mereka dari keburukan mereka. Lalu berkata umat-umat yang lain: "Alangkah beratnya imbangan amal kebajikan mereka."
Sesungguhnya, adapun yang menjadi sedemikian
kerana mereka sentiasa memulai segala perbicaraan mereka dengan Bismillahir rahmaanir rahiim. Kerana ia adalah Isim Allah Yang Maha Agung. Jika sekiranya diletakkan langit dan bumi serta segala isinya ke atas neraca timbangan, nescaya beratlah lagi kalimah Bismillaahir
rahmaanir rahiimi."

Dari Abu Hurairah lah.a., Nabi s.a.w.bersabda:
"Apabila engkau berwuduk, ucapkanlah Bismillaahir rahmaanir rahiimi kerana Malaikat penjagamu tidak kan berhenti menuliskan kebajikan bagimu sehingga engkau selesai. Dan, apabila engkau ingin bersatu dengan isterimu, ucapkanlah Bismillaahir rahmaanirrahiimi kerana sesungguhnya Malaikat penjagamu akan menuliskan kebajikan bagimu hingga selesai engkau mandi janabah. Jika dari persetubuhan itu lahir seorang anak, akan
dituliskan bagimu kebajikan menurut bilangan
nafasnya dan bilangan anak-cucunya hingga tidak
dikecualikan walau seorang."

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas lah.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa di antara kamu apabila ia akan bersetubuh dengan isterinya, lalu dia mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiimi dan "Ya Allah, jauhkanlah Syaitan daripada kami dan jauhkanlah Syaitan itu daripada apa yang Engkau kurniakan untuk kami", maka jika
sesungguhnya Allah takdirkan dari persetubuhan itu lahir seorang anak, tidak akan dapat Syaitan memudaratkannya untuk selama-lamanya."

Dikisahkan di dalam Kitab Khozinatul-Asror bahawasanya Allah Ta'ala itu mempunyai 3000 nama yang mana 1000 nama hanya diketahui oleh para Nabi-Nabi Allah, 300 nama disebutkan di dalam Kitab Taurat, 300 nama disebutkan di dalam kitab Injil, 300 nama disebutkan di dalam Kitab
Zabur, 99 nama disebutkan di dalam al-Qur'anulkariim manakala 1 berada di sisi Allah.

Dan, adapun makna daripada keseluruhan 3000 nama ini terhimpun di dalam 3 nama-nama Allah iaitu Allah, Arrahmaan dan Arrahiim yang
termaktub pula di dalam kalimah Bismillaahir rahmaanir rahiimi. Maka, barangsiapa mengajarkan dan mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiimi umpama ia menyebutkan keseluruhan 3000 nama-nama Allah. Adapun sesungguhnya kalimah Bismillaahir rahmaanir rahiimi itu ada sembilanbelas huruf dan Malaikat-Malaikat penjaga Neraka itu juga ada sembilan belas. Maka, barangsiapa membaca Bismillaahir
rahmaanir rahiimi dengan penuh ikhlas dan yakin kepada Allah, nescaya terhindarlah dia daripada siksaan Malaikat Zabbaniah.

Wednesday 22 June 2011

 "“DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?”



Sekali lagi kita tanya diri sendiri DI MANA ALLAH DALAM HATI kita? Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?

Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat padaNya?
Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut. Aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana aku.

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah pada kita yang mampu bangun di tengah-tengah malam- Allah
menyebut: Adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka aku ampunkan segala dosanya dan memohon sesuatu, maka aku berikan padanya.

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNYa untuk meninggikan syiar agamaNYa walaupun pelbagai rintangan dan
halangan.

Berapa banyak ruang dan masa yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, terus bersyukur padaNya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernahkah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa
yang terlalu menyayangi kita walau saat kita tersungkur, suami atau isteri yang mengasihi kita?

Atau kita sekadar menerima nikmatNya tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah. Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara-saudari segama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk
harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan tapi apa
yang paling penting, DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Allahkah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan ana ketika hendak bertemu dengan Allah pada hari pembalasan yang mungkin esok, lusa atau hari ini atau mungkin pada saat ini sedangkan ana melakukan maksiat kepadaNya???

Monday 6 June 2011

TIP PERKAHWINAN (Ustz Azhar Idrus)

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa’kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do’a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan.

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11 .KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.

12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.



Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

 Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu." 

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya. 

Thursday 2 June 2011

~ANALOGI ANAK COMEL DAN UJIAN KEHIDUPAN~


Setiap manusia akan diuji, sama ada melalui nikmat mahupun musibah. Kita hanya manusia yang hanya menumpang hidup di bumi ni. Kita tak boleh lari ujian, lebih-lebih lagi ujian yang melibatkan musibah. Kena hadapi juga!

Yalah, Allah SWT dah bagi macam-macam nikmat kepada kita tapi bila dapat musibah nak mengeluh pula.

Saya buat satu analogi, perkara yang selalu kita hadapi.
Ada seorang kanak-kanak comel ini, dia selalu dapat macam-macam daripada ibu bapa dia sampaikan dia tak perlu minta pun tapi dapat macam tu sahaja. Sampai satu hari, ibunya mahu menguji ketaatan si anak dengan menyuruh anaknya ke kedai runcit berdekatan untuk membeli barang keperluan. Anak kecil yang comel ini merungut dan tidak mahu pergi kerana terpaksa berjalan kaki dalam panas terik.

Pada pendapat andalah, bedasarkan akal yang waras, wajar tak si anak kecil memperlakukan ibunya sebegitu rupa? Orang dah beri macam-macam, minta tolong sikit tak boleh ke?

Hhhhmm... sama jugalah dalam situasi kita sekarang. Allah SWT dah beri kita macam-macam nikmat termasuklah yang kita tak minta pun tapi Allah SWT tetap beri sebab Dia tahu kita memerlukan-Nya, tapi bila datang ujian dari Allah SWT kita mengeluh? Wajarkah?

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman :
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (29:2-3)

Lihat, Allah sudah turunkan ayat bahawa Allah akan uji hamba-hamba-Nya yang beriman. Semakin beriman, semakin berat Allah SWT berikan ujian. Allah SWT mahu lihat benarkah kita betul-betul beriman pada-Nya.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW pun diuji, inikan pula hamba-Nya yang sering lakukan dosa. Ingat, ujian yang kita alami adalah kafarah dosa-dosa kecil yang telah kita lakukan. Sepatutnya kita gembira sebab Allah SWT mahu hapuskan dosa-dosa kecil kita. Bukankah itu satu nikmat?

Tidak kiralah seberat manapun ujian Allah SWT, laluilah dengan tenang dan tabah. Jika kita redha Allah SWT itu Tuhan kita dan Nabi Muhammad SAW pula rasul kita, mengapa Qada' dan Qadar-Nya kita tidak boleh terima?

Lihat, betapa sabar dan tabahnya Nabi Daud ditimpa ujian. Sehinggakan isteri dan anaknya pergi meninggalkan baginda yang sedang kesakitan. Namun baginda tetap tabah.
Nabi Muhammad SAW, jika kita singkap kembali Sirah Nabawiyyah, baginda pernah dicaci, dimaki dan dibalingkan batu oleh penduduk Thaif ketika berdakwah bagi mengembangkan ajaran Islam. Baginda tetap sabar. Sabarnya baginda sehinggakan apabila malaikat Jibril a.s ingin menawarkan diri untuk menterbalikkan bukit Thaif ke atas penduduknya yang ingkar, baginda menolak. Mulianya dan agungnya Muhammad SAW walapun diuji sebegitu rupa.

Dalam al-Quran lagi Allah SWT berfirman:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat siksa dari kejahatan yang diperbuatnya. (Mereka berdoa)

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir." (2:286)

Jadi, saya menasihatkan diri saya dan pembaca sekalian, yakinlah kepada Allah kerana Dia tahu apa yang terbaik buat kita. Bila dah dapat musibah, kita cuba muhasabah kembali diri kita. Kenapa Allah SWT datangkan musibah?

Mungkin kita terlalu alpa dan leka. Selalu dengan kemewahan dunia sehinggakan kita lupa Dia yang menciptakan kita. Sehinggakan kita jauh daripada-Nya. Mujur Allah SWT berikan musibah pada kita. Ya lah, bila kita dapat musibah, kita akan terus merintih dan mengadu  pada Allah SWT. Dengan musibah itu jugalah kita sedar daripada kekhilafan kita. Barulah sedar bahawa diri kita jauh dari Allah SWT. Syukur Allah SWT masih lagi memberi kita kesedaran melalui musibah agar kita berubah ke  arah yang lebih baik. Jika tidak, bagaimana mahu menghadap Allah SWT pada hari Akhirat kelak?

Bersabarlah apabila diuji. InsyaAllah, Allah SWT akan melipat gandakan pahala kita atas kesabaran kita. Mungkin ada yang mengatakan, 'cakap senang la, cuba kena dekat diri sendiri. Kalau tulis macam ni semua orang reti.'

Terpulanglah kepada diri masing-masing untuk menerima atau tidak. Cuma apa yang saya nak katakan, saya juga insan yang lemah, yang kadang kala merasakan beban apabila menerima musibah. Tetapi apa gunanya kita menjadi makhluk Allah SWT. Mengadulah pada-Nya, pasti Dia mendengar.

Ujian itu lumrah kehidupan.

Semoga kita sabar dan tabah menghadapi ujian daripada Allah SWT,
Semoga kita sentiasa dibawah lembayung rahmat dan kasih-Nya,
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita sebelum mengadap-Nya,
Semoga kita hidup dan mati dalam keadaan iman.

http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/2459-anak-comel-dan-ujian-kehidupan.html