BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 22 June 2011

 "“DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?”



Sekali lagi kita tanya diri sendiri DI MANA ALLAH DALAM HATI kita? Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?

Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat padaNya?
Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut. Aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana aku.

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah pada kita yang mampu bangun di tengah-tengah malam- Allah
menyebut: Adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka aku ampunkan segala dosanya dan memohon sesuatu, maka aku berikan padanya.

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNYa untuk meninggikan syiar agamaNYa walaupun pelbagai rintangan dan
halangan.

Berapa banyak ruang dan masa yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, terus bersyukur padaNya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernahkah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa
yang terlalu menyayangi kita walau saat kita tersungkur, suami atau isteri yang mengasihi kita?

Atau kita sekadar menerima nikmatNya tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah. Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara-saudari segama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk
harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan tapi apa
yang paling penting, DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA?

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA? Allahkah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan ana ketika hendak bertemu dengan Allah pada hari pembalasan yang mungkin esok, lusa atau hari ini atau mungkin pada saat ini sedangkan ana melakukan maksiat kepadaNya???

Monday 6 June 2011

TIP PERKAHWINAN (Ustz Azhar Idrus)

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa’kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do’a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan.

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11 .KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.

12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.



Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

 Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu." 

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya. 

Thursday 2 June 2011

~ANALOGI ANAK COMEL DAN UJIAN KEHIDUPAN~


Setiap manusia akan diuji, sama ada melalui nikmat mahupun musibah. Kita hanya manusia yang hanya menumpang hidup di bumi ni. Kita tak boleh lari ujian, lebih-lebih lagi ujian yang melibatkan musibah. Kena hadapi juga!

Yalah, Allah SWT dah bagi macam-macam nikmat kepada kita tapi bila dapat musibah nak mengeluh pula.

Saya buat satu analogi, perkara yang selalu kita hadapi.
Ada seorang kanak-kanak comel ini, dia selalu dapat macam-macam daripada ibu bapa dia sampaikan dia tak perlu minta pun tapi dapat macam tu sahaja. Sampai satu hari, ibunya mahu menguji ketaatan si anak dengan menyuruh anaknya ke kedai runcit berdekatan untuk membeli barang keperluan. Anak kecil yang comel ini merungut dan tidak mahu pergi kerana terpaksa berjalan kaki dalam panas terik.

Pada pendapat andalah, bedasarkan akal yang waras, wajar tak si anak kecil memperlakukan ibunya sebegitu rupa? Orang dah beri macam-macam, minta tolong sikit tak boleh ke?

Hhhhmm... sama jugalah dalam situasi kita sekarang. Allah SWT dah beri kita macam-macam nikmat termasuklah yang kita tak minta pun tapi Allah SWT tetap beri sebab Dia tahu kita memerlukan-Nya, tapi bila datang ujian dari Allah SWT kita mengeluh? Wajarkah?

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman :
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (29:2-3)

Lihat, Allah sudah turunkan ayat bahawa Allah akan uji hamba-hamba-Nya yang beriman. Semakin beriman, semakin berat Allah SWT berikan ujian. Allah SWT mahu lihat benarkah kita betul-betul beriman pada-Nya.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW pun diuji, inikan pula hamba-Nya yang sering lakukan dosa. Ingat, ujian yang kita alami adalah kafarah dosa-dosa kecil yang telah kita lakukan. Sepatutnya kita gembira sebab Allah SWT mahu hapuskan dosa-dosa kecil kita. Bukankah itu satu nikmat?

Tidak kiralah seberat manapun ujian Allah SWT, laluilah dengan tenang dan tabah. Jika kita redha Allah SWT itu Tuhan kita dan Nabi Muhammad SAW pula rasul kita, mengapa Qada' dan Qadar-Nya kita tidak boleh terima?

Lihat, betapa sabar dan tabahnya Nabi Daud ditimpa ujian. Sehinggakan isteri dan anaknya pergi meninggalkan baginda yang sedang kesakitan. Namun baginda tetap tabah.
Nabi Muhammad SAW, jika kita singkap kembali Sirah Nabawiyyah, baginda pernah dicaci, dimaki dan dibalingkan batu oleh penduduk Thaif ketika berdakwah bagi mengembangkan ajaran Islam. Baginda tetap sabar. Sabarnya baginda sehinggakan apabila malaikat Jibril a.s ingin menawarkan diri untuk menterbalikkan bukit Thaif ke atas penduduknya yang ingkar, baginda menolak. Mulianya dan agungnya Muhammad SAW walapun diuji sebegitu rupa.

Dalam al-Quran lagi Allah SWT berfirman:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat siksa dari kejahatan yang diperbuatnya. (Mereka berdoa)

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir." (2:286)

Jadi, saya menasihatkan diri saya dan pembaca sekalian, yakinlah kepada Allah kerana Dia tahu apa yang terbaik buat kita. Bila dah dapat musibah, kita cuba muhasabah kembali diri kita. Kenapa Allah SWT datangkan musibah?

Mungkin kita terlalu alpa dan leka. Selalu dengan kemewahan dunia sehinggakan kita lupa Dia yang menciptakan kita. Sehinggakan kita jauh daripada-Nya. Mujur Allah SWT berikan musibah pada kita. Ya lah, bila kita dapat musibah, kita akan terus merintih dan mengadu  pada Allah SWT. Dengan musibah itu jugalah kita sedar daripada kekhilafan kita. Barulah sedar bahawa diri kita jauh dari Allah SWT. Syukur Allah SWT masih lagi memberi kita kesedaran melalui musibah agar kita berubah ke  arah yang lebih baik. Jika tidak, bagaimana mahu menghadap Allah SWT pada hari Akhirat kelak?

Bersabarlah apabila diuji. InsyaAllah, Allah SWT akan melipat gandakan pahala kita atas kesabaran kita. Mungkin ada yang mengatakan, 'cakap senang la, cuba kena dekat diri sendiri. Kalau tulis macam ni semua orang reti.'

Terpulanglah kepada diri masing-masing untuk menerima atau tidak. Cuma apa yang saya nak katakan, saya juga insan yang lemah, yang kadang kala merasakan beban apabila menerima musibah. Tetapi apa gunanya kita menjadi makhluk Allah SWT. Mengadulah pada-Nya, pasti Dia mendengar.

Ujian itu lumrah kehidupan.

Semoga kita sabar dan tabah menghadapi ujian daripada Allah SWT,
Semoga kita sentiasa dibawah lembayung rahmat dan kasih-Nya,
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita sebelum mengadap-Nya,
Semoga kita hidup dan mati dalam keadaan iman.

http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/2459-anak-comel-dan-ujian-kehidupan.html

 ~JODOH~


Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.

"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"

"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya pendek.

"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.

"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.

"Habis mengapa putus?"

"Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta."

Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

"Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.

"Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."

"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"

"Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."

"Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"

"Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga."

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.

"Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi..."

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."

Cantik Itu Relatif dan Subjektif

"Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.
"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."

"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"

"Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?"

"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.

"Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.

"Maksud abang?"

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
"Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami."

"Oh, betul juga tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."

Wasilah Memilih Jodoh

"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.

"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."

"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"

"Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

"Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"

'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.

"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"

"Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."

"Tak mengapa. Kalau begitu, guna cara pertama, jadilah orang yang baik."

"Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."

Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"

"Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya pendek.

"Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"

"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."

"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"

"Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah

"Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."

"Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."

"Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"

"Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."

"Hikmah untuk kita?"

"Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: 
"Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. Jadi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!"

Ustaz Pahrol Mohd Juoi  :
http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1683-bercerita-tentang-jodoh.html